Tuesday 22 September 2020

Susunan Allah itu ajaib

Alhamdulillah.

Hari ini genap 2 bulan aku berkahwin. Terima kasih pada mak, Maimunah binti Bujang, dan abah Aziz bin Ali kerana melahirkan dan membesarkan aku di dunia. Terima kasih pada puan isteri, Su'aidah binti Khairedin kerana memberi peluang untuk aku hidup berkahwin.  

Alhamdulilah 2 bulan yang baru, orang lain pun dah berpuluh tahun berkahwin. Bukanlah tulisan ini untuk berbangga, namun untuk menzahirkan syukur dan perasaan ajaib pada susunan Allah.


Kita raikan 2 bulan kahwin dengan merempit naik scooter MIL

Bila dilanda gelombang COVID, aku adalah antara mereka yang terkesan. Sebelum ini aku berkerja dalam industri perlancongan. Aku mula tidak bekerja sejak April 2020. Dan ketika PKP bermula, aku menghabiskan masa di rumah Cyberjaya sehingga diberi kebenaran untuk merentas negeri pada 10 Mei 2020. Aku pulang ke Terengganu. 

Berada di Terengganu, memang membuatkan aku lebih bersyukur. Aku mula berjauhan dengan keluarga sejak umur 13 tahun. Keluar sahaja dari rumah untuk menuntut ilmu, aku tak pernah berada di rumah sebegini lama. Sekolah Asrama (2006-2010), PLKN (2011), Persediaan ke Korea (2011-2012), Korea (2012-2017), alam pekerjaan (2017-Mac 2020). 

Kali ini, aku dapat habiskan Ramadan bersama mak abah, adik beradik yang terkandas di Terengganu, yang mana itu lebih dari apa yang aku minta. Teringat pula aku menjadi imam terawih, tapi lepas 4 rakaat, kene berhenti, sebab aku sakit perut. Rasakan makan tak ingat dunia lagi masa berbuka. Syawal pula diraikan penuh sederhana tapi bermakna. 

Ada satu masa, mak gorengkan Jemput Bawang untuk makan waktu sarapan, aku hampir mengalir air mata, kerana itulah kenangan aku waktu kecil, yang mana hampir sekian lama baru aku dapat rasai kembali.Terima kasih Allah atas nikmat PKP. Moga Allah berikan aku rasa bersyukur selalu.

Terima kasih mak. I believed there will be special heaven for you. Gambar masa raya. :)

Alhamdulillah.

Aku bertunang pada 14 Mac, dan aku pun tak dapat hadir majlis kerana self-quarantine. Dan aku berkahwin pada 22 Julai (Rabu). Pada mulanya, majlis akad kami pada 24 Julai (Jumaat), tapi sebab peraturan PKP, akad kami ditukarkan pada saat terakhir ke hari Rabu. Sebabkan ahli keluarga ramai yang bekerja, maka tiada seorang dari keluarga aku yang dapat hadir pada majlis akad nikah aku. 

Aku drive berseorang dari Terengganu ke Perak, settlekan persiapan baju, sampin, songkok, skrip, hati, semuanya sendiri. Keluarga pun tak dapat tengok baju nikah kecuali melalui gambar. 

Gambar masa majlis tunang. Tak dapat hadir, tengok gambar jer, tapi tengok sekejap sebab nak jaga berkat. Tapi, she is always pretty ladyyyyy.

Berdebar sebelum nikah. Terima kasih Khairul ambekkan gambar.

Ironi pula, majlis tunang, aku yang tiada, majlis nikah, family pula tiada. Alhamdulillah buat segalanya.

Tapi,

Aku yakin Allah susun yang terbaik. Allah dah beri banyak peluang aku menyantuni keluarga sejak 10 Mei hingga 21 Julai. Aku gembirakan mak ayah aku. Tak taulah mereka rasa apa. Itu lebih bermakna dibandingkan dengan ketiadaan mereka pada hari bermakna aku. 

Alhamdulillah.

Selepas kahwin, aku terus berbakti sepenuh masa dengan puan isteri, memandangkan aku tak bekerja. Puan isteri pula pada masa tersebut, baru selesai posting O&G, dan start tagging di posting Ortho. Walaupun dah ready dengan bacaan teori hidup bersama doktor, sedikit mencabar, tapi always yakin dengan susunan Allah. 

Oh ya, selepas kahwin, saya direzekikan mendapat kerja baru, seminggu selepas berkahwin. Alhamdulillah.

Kesempatan aku tak bekerja, kami suami isteri memang gunakan sebaik mungkin untuk mengenal hati budi masing-masing. Sebelum kahwin, kami pernah jumpa 3 kali sahaja. Mesej personal pun kami boleh kira dengan jari sahaja berapa kalinya. Aku cuba untuk menjaga keberkatan, moga Allah kira hasil usaha kami. 

Selapas kahwin, kami memang cuba banyakkan komunikasi, dan dapatkan nasihat dari orang sekeliling. Perjalanan aku hantar dan ambil isteri dari Hospital Taiping ke rumah di Kuala Kangsar pun aku nikmati sebaiknya. Aku simpankan perasaan nikmat kebahagiaan perkahwinan dalam diari tulisan aku sendiri.

Seminggu selepas kahwin. Di Taman Tasik Taiping. Masa ini balik dari selesaikan logbook puan isterti di hospital sambil jumpa kawannya, Ona

Sejak 7 September lepas, aku memulakan kerja baru aku di Kepong, Kuala Lumpur. Dengan rasminya, kami suami isteri memulakan fasa hidup berjauhan. Aku akan sibuk dengan kerja aku, dan puan isteri akan lagi sibuk dengan kerjanya. Aku akan pulang ke Perak, setiap hujung minggu, jika jadual puan isteri kosong pada hujung minggu tersebut. Jika puan isteri boleh berkhidmat untuk masyarakat, sekurangnya itu yang aku mampu bantu ya?

Aku dan isteri pernah berbincang, yang sebenarnya kami ini tak lagi diuji dengan ujian yang besar dari Allah. Kami berdua sihat tubuh badan, ahli keluarga mentua masing-masing baik pada kami, masalah kewangan masih lagi tiada, masalah pekerjaan pun belum lagi diuji. Setakat ini, Allah bagi rasa kasihnya pada kami untuk melalui fasa-fasa bermakna dalam alam perkahwinan. Iyalah, baru 2 bulan kan. Jadi kami yakin ujian yang akan mendatang, adalah tanda kasih sayang Allah, untuk hambanya yang beriman (Al-ankabut : 29:2-3). Kami mohon doa semua yang membacanya ya. Moga Allah berikan ujian setimpal yang kami mampu.

Alhamdulillah.

Tahun 2020 ini rasanya sangat bermakna bagi aku. Allah tunjukkan kuasanya pada aku dengan menunaikan doa-doa aku, dan memberi aku rasai fasa-fasa penting dalam hidup aku. 27 tahun sudah dihabiskan di dunia, dengan penuh keampunan pada Allah. Moga Allah tetapkan hati untuk aku sentiasa yakin dengan susunan Allah. 

Sungguh rezeki Allah itu datang dalam bentuk yang kita tak pernah sangka. Susunan Allah itu ajaib.

Pada yang membaca, aku mohon ampun atas salah silap saya sepanjang pertemuan kita, moga doa-doa dari kalian, dapat memberi aku dan puan isteri kemudahan dalam menempuh ujian dari Allah.

Buat puan isteri, terima kasih atas 2 bulan yang bermakna, moga Allah kurniakan mawaddah, kesabaran dalam kehidupan kita. Kita sama-sama jadi muslim terbaik sehingga ke syurga ya?

> Sebenarnya aku langsung tak pandai menulis, mengarut jer, tapi nak tulis jugak. haha

Pertama kali pegang tangan wanita (aka bukan ajnabi) dalam hidup. Nielah akad nikah tanpa family. Terima kasih pada Wan dan Khairul (Kawan puan isteri) datang beri bantuan moral.

Terima kasih keluargaku, sentiasa ada memberi bantuan pada adikmu ini. 
Teruskan berfikir tentang kebesaran Allah, teruskan yakin dengan susunan Allah, teruskan bersabar. :)

> Shafiq Aziz
> 22 September 2020 : 2306
> Kepong, Kuala Lumpur







Sunday 24 April 2016

Apa ertinya menjadi kuat

Salah satu ayat yang paling aku suka.

Dari surah Syuara', ayat 89.


إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ


Kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih


Bagi aku yang membesar dengan mempunyai daya ketahanan yang sangat lemah, sama ada dari segi badan, mahupun hati aku sendiri, pentadaburan mengenai ayat ini sangatlah aku sukai.


Hati yang bersih itulah penggerak kepada tubuh badan dan juga amalan seharian. Hati tempatnya kepada iman, dan iman yang kuat adalah pengawal kepada nafsu. Manusia yang mampu mengawal nafsu, inilah manusia yang berjaya. Namun, semuanya haruslah dimulakan dengan usaha.


Apabila hati sudah baik, makanya kesannya pada kehidupan seharian. Kita akan nampak bagaimana seorang manusia boleh menjadi seorang muslim yang sangat hebat. Bukan sahaja perkejaan dunia, malahan perkejaan akhiratnya jauh lebih baik, berbeza dengan manusia biasa. Namun, 


Entahlah.


Aku pun tak tahu betapa kuatnya aku sendiri, sehinggakan menjadi kuat hanyalah pilihan yang aku ada. Dan keadaan ini adalah sangat menggambarkan keadaan aku sekarang. Dengan bebanan yang banyak, "penyakit" yang selalu menyerang, sangatlah menguji.


Sungguh aku adalah manusia yang lemah. Manusia yang tak mampu mujahadah.


Sedangkan, dengan mujahadah sahajalah, akan dimasukkan ke syurga. Apa kita ingat keredhaan Allah itu mudah? Sedangkan untuk mendapatkan duit pun perlu berusaha, masakan syurga Allah untuk mereka yang bersenang-lenang.


Tinggalkanlah expectation manusia. Maka akan ada harapan dari Allah ke dalam hati kita.


Sungguh untuk mendapatkan hati yang baik itu sukar, apatah lagi keredhaan Allah.


Tapi, itu sahaja pilihan jalan untuk ke syurga. Sebab kita semua akan merasai kematian.


Moga Allah matikan kita dalam keimanan, dan juga jalan ke syurga.


Mohd Nor Shafiq bin Aziz

12:36
Yollamsil Konkuk Library.

Wednesday 9 December 2015

Mencari ketenangan yang abadi

Kita akan selalu disibukkan. Itu adalah kemestian. Masakan tumbuhan-tumbuhan, gunung-ganang, haiwan dan segala ciptaan Allah sibuk dengan memuji Allah dan memenuhi sunnatullah ciptaan mereka, kita, manusia tak mungkin bersenang lenang.

Berbeza kita dengan ciptaan Allah yang lain, di mana kita mempunyai pilihan. Kita yang memilih kita untuk di sibukkan dengan perkara apa. Makanya, hanya ada dua pilihan kita. Sama ada kita disibukkan dengan perkara yang membawa kepada tujuan perciptaan kita (hasanah), ataupun perkara yang melalaikan kita (jahiliyyah).

Jika kita tak memilih kita untuk disibukkan dengan perkara hasanah, maka kita akan disibukkan dengan perkara jahiliyyah.

Namun, saya yakin, dimana mereka-meraka yang menyibukkan diri dengan perkara hasanah, amatlah sukar mencari ketenangan hati. Di saat kita ber"perang" dengan dunia luar, sama ada dengan rakan-rakan, guru-guru, persekitaran kita, kita sedang di uji dengan perkara yang paling bahaya iaitu ketandusan hati. Ketandusan hati ini akan lahir hasil usaha berterusan dari syaitan melalui bisikan-bisikan halus dan juga melalui cucukan pemikiran yang membawa kepada perkara yang melemahkan hati.

Teringat ketika TnT (Tilawah dan Tadabbur) dalam usrah bersama ikhwah tercinta dalam surah As Syam. Allah berfirman, Allah mengilhamkan kepada hati, jalan-jalan kefasikan dan ketakwaan. (91:8). Jalan-jalan kefasikan itu sangat banyak, sama seperti dunia hari ini, jalan kefasikan banyak, hanya ada satu jalan untuk kebaika hati iaitu ketaqwaan.

Makanya, ketika ketika kita di uji dengan ketandusan hati, maka berbaliklah kepada penjaga hati. Ingatlah dengan mengingati Allah hati kta akan tenang. Mungkin kita akan mencari ketenangan dengan bermain alat muzik, makan, dan sebagainya, itu tidaklah salah, namun jangan kita lupa akan penjaga hati kita yang sebenar, Allah SWT.

Post ini ditulis dengan harapan hati ini sedikit sembuh dari kesedihan.

Thursday 24 September 2015

Eidul Adha: Cinta teragung Manusia

Bismillahirrahmanirrahim

Kita mesti selalu dengan cerita Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kan?

Meh saya nak cerita ringkas sikit.

Kisah ini dimulakan...Nabi Ibrahim menjadikan Palastin sebagai pusat pelancaran dakwah beliau. Beliau pernah melawat Mesir dan bertemu dengan Firaun. Dimana Firaun telah cuba melakukan kenakalan kepada Sarah tetapi Allah telah membalas balik perbuatan Firaun dengan memberi nahas. Sebagai pampasan atas perbuatannya, Firaun telah menghadiahkan khadamnnya, Hajar. Dan Sarah telah mengahadiahkan Hajar untuk dikahwini Ibrahim.

Setelah pulang ke Palastin, Hajar telah melahirkan Ismail lalu menimbulkan cemburu dari Sarah yang masih melahirkan zuriat Ibrahim. Kemudian, Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Mekah dan meninggalkan mereka di sana. Dan seperti mana yang kita tahu kisah Hajar berlari mencari air untuk Ismail. Ya Allah betapa kuatnya seorang Ibu! Mungkin dikala bergelar wanita, mereka seolah-olah lemah namun tidak bagi bergelar mereka yang bergelar Ibu.

Ibrahim berulang alik dari semasa ke semasa untuk melawat Ismail dan Hajar. Dikatakan kunjungan Ibrahim hanya sekali sebelum Nabi Ismail meningkat dewasa. (Tidaklah sekerap yang kita fikirkan). 

Semasa keberadaan Ibrahim di Mekah, tertulislah takdir mengenai peristiwa agung korban Ismail dan Ibrahim yang saya tak mahu panjangkan disini.

Namun saya melihat tentang kisah mereka sebagai sebuah antara kisah teragung antara makhluk dan penciptaNya.

Apabila Ibrahim ingin menyembelih Ismail, makanya secara langsung hadith tentang halawatul iman dapat kita imani.

Sabda Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam-: Tiga perkara, barangsiapa yang memilikinya, dia telah mendapati dengan tiga perkara itu kemanisan iman. (Iaitu) barangsiapa yang adalah Allah dan Rasulnya lebih dicintai olehnya dari selain kedua-keduanya. Dan bahawa dia menyayangi seseorang hanya semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kepada kekufuran setelah di selamatkan Allah darinya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam neraka.[HR Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa'ei]

Betapa bergegarnya hati Ibrahim untuk menyembelih anak sendiri, namun rasa cinta pada Allah, mengatasi segala-galanya. Begitu juga dengan Ismail. Rasa cinta pAda Allah dan taat akan perintah bapanya sangat harus diteladani. Inilah rasa cinta teragung,  Bagaimana pula kita? Pada Allah kita jauhi, pada ibu bapa kita derhakai.

Dalam peristiwa korban ini, Allah ingin menunjukkan bukan korban itu yang Allah lihat, tapi sebaliknya rasa ketakwaan kepada Allah itulah yang paling terbaik. Mungkin kita tak berkemampuan melaksanakan korban binatang, jangan pula kita menjadi yang paling rendah dalam ketaqawaan kepadaNya. Rasa cinta Allah itu mengatasi rasa  Makanya, cubalah paksa diri kita untuk berkorban kepada Allah! Paksa diri kita untuk berubah kerana Allah!

Dengan berkorbanlah baru kita dapat menzahirkan rasa cinta kita kepada Allah. Kerana cinta ini akan menuntut segala kudrat kita, memerah segala tenaga kita dan hasilnya kebahagiaan abadi. Makanya, cinta kita ini kita tujukan kepada siapa?

Apabila berkorban kepada Allah, rasa cinta kepada Allah akan datang dalam bentuk kebahagiaan yang abadi.Moga kita semua dapat mencari erti pengorbanan yang sebenar!

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Al-Anfal 2

Monday 12 January 2015

Kpop: Manusia bagaimanakah kita?

Alhamdulillah atas nikmat Allah kurniakan kepada kita.

Saya begitu tertarik dengan isu Kpop di Malaysia ini kerana ada hikmah yang Allah mahu sampaikan. Alhamdulillah melalui isu ini Allah mahu menunjukkan kepada kita, betapa banyak lagi kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang harus kita laksanakan.

Saya teringat dengan kisah yang pernah saya dengar dulu. Dimana ketika 3 orang sahabat berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Mereka terlihat dari jauh akan gelagat sepasang kekasih yang sedang “asyik” dengan dunia mereka. Kemudian, salah seorangnya berkata sambil mengutuk, “tak elok betul perangai 2 orang itu, tak ada kerja lain?”. Lantas salah seorang sahabat berkata “MasyaAllah, kasihan betol dengan meraka berdua itu, masih banyak kerja-kerja dakwah dan tarbiyah perlu kita lakukan wahai sahabat!” Ya! Sepatutnya kita kasihan dengan mereka.

Saya terpanggil untuk mengaitkan peristiwa tragedi Kpop dengan kisah di atas. Saya merasakan bahawa adalah sangat tidak adil, kita dan mereka-mereka yang mengikuti kisah ini untuk terus mengutuk kepada gadis-gadis di atas pentas tersebut, mencari siapa yang salah, menunding jari kepada mereka yang tak sepatutnya, dan kemudian, tiada amal susulan yang dilakukan. Sangat menyedihkan bila ada segelintir gerakan dakwah yang mengambil langkah drastik dengan menyalahkan mereka yang lain. Wahai!

Firman Allah dalam Surah Al-A’raf 150 
"Hai anak ibuku, sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim"

Melalui ayat ini, pada pandangan saya adalah elok jika pihak yang menunding jari sahaja itu pergi untuk bertemu dan berbincang yang sebaiknya. Mungkin atas perbuatan kita, musuh-musuh kita akan bersuka akan kepincangan aqidah umat Islam. Maka sebaiknya kita mencari solusi sepantas mungkin bagi perkara ini bersesuaian dengan kemampuan kita. Saya juga sangat suka dan tertarik dengan pendekatan Dr. Harlina yang menunjukkan Islam sebagai agama kasih sayang dalam mendidik penganutnya.

Kredit: Dr Harlina

Saya dapat rumuskan bahawa sebelum, ketika dan selepas kejadian kpop ini, perkara jahiliyyah masih/akan/tetap berlaku. Malahan dalam kalangan industri hiburan kita sendiri pun perkara ini masih lagi berlaku. Perkara ini pasti akan terus berterusan jika kita sendiri masih belum tahu sebab kita hidup, sebab kita perlu berubah, sebab kenapa Islam adalah agama rahmah dan agama kasih sayang. Dan kitaran ini akan terus berputar balik kepada jahiliyyah jika kita yang mempunyai akal yang sihat, pertimbangan yang elok, fikrah yang masih boleh dibentuk tidak sanggup untuk mengubah diri kita kepada kebaikan disamping mengubah diri mereka-mereka yang masih lalai dengan kehidupan dunia.

Teringat saya akan ayat Quran surah Taha ayat 43 
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.”

Sedangkan dalam Quran Allah menyuruh kita untuk berdakwah walau mereka adalah musuh kita. Bukankah mereka-meraka yang terlibat itu saudara kita? Atau adakah kita hanya akan tetap menjadi mereka yang menunding jari sahaja dan menyalahkan orang lain?

JENIS MANUSIA YANG BAGAIMANAKAH KITA?

Makanya, saya menyeru agar semua pihak seharusnya mengambil langkah-langkah pencegahan dari awal dengan menerapkan nilai-nilai Islam dan aqidah yang utuh ke dalam hati masing-masing dan bagi pihak penganjur apa-apa program sahaja sekalipun untuk supaya lebih sensitif bagi mengelakkan perkara ini berlaku sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Rahmah satu hari kelak. InsyaAllah.


Gambar sebuah masjid di Korea.
Bukti kepada perkembangan Islam di Korea

Mohd Nor Shafiq bin Aziz
13 Januari 2015
0126
Seoul, Korea

Wednesday 22 October 2014

Tadabbur Surah Al-Falaq

Pengenalan

A. Surah Makiyyah : menekankan aspek akidah.

B. Mindset : 
a. Rasa tidak ingin berubah itu datang dari bisikan syaitan. 
b. Setiap halangan dalam diri sendiri akan kita atasi supaya kita berada di jalan tarbiyah yang 


C. Isi-isi

1. Subuh: permulaan hari untuk memulakan tujuan hidup kita
2. Makhluk: kita memohon perlindungan daripada kejahatan makhluk 

i. Kejahatan makhluk perlulah dilihat dalam aspek yg lebih besar: 
• Pen yang rosak ketika kita ingin menggunakannya. 
• Kereta yang rosak tatkala kita ingin ke tempat daurah. 
• Internet yang meragam sewaktu kita ingin berusrah. 

ii. Semua ini adalah bentuk kejahatan makhluk, yang datangnya tanpa disangka-sangka. 

iii. Termasuklah aspek yang lebih umum: musuh-musuh islam, musuh-musuh di jalan 
dakwah dan tarbiyyah. 


3. Malam: 

i. Kita juga dituntut melaksanakan tujuan hidup di waktu malam. 

ii. Kita memohon perlindungan daripada kejahatan malam. Malam merupakan simbolik 
kepada waktu-waktu susah: 
  • Banyak kejahatan (banyak rompakan pada waktu malam, kebakaran pada waktu malam, pembunuhan, etc.). 
  • Serangan musuh yang tidak dijangka: situasi tanah arab pada zaman dahulu di waktu malam: ‘ di padang pasir yang gelap, kita mungkin diserang oleh kala jengking dan ular berbisa, kita mungkin diserang pencuri dan musuh, semuanya datang tanpa dijangka.
  • Ilmu pengetahuan manusia yang terbatas, tidak mengetahui apa yang akan hadir dalam hidupnya, ibarat seseorang yang berjalan di waktu malam yang gelap, tanpa mengetahui halangan/perangkap yang berada di hadapannya. 
  •  Memohon perlindungan daripada kejahatan malam yang gelap gelita adalah ibarat kita memohon perlindungan daripada sebarang perkara/musykilah yang tidak diingini berlaku, yang datangnya tak disangka-sangka. 

4.5 Ahli sihir dan pendengki: 

i. Wujud golongan yang tidak ingin melihat kita berubah, kerana perasaan hasad dengki. 

ii. Golongan ini melemahkan semangat kita untuk berubah. 

iii. Mereka memperlekehkan dan mengganggu usaha kita untuk berubah. 

iv. Mereka menambahkan kesusahan kepada kita agar kita menjadi lemah. 


D. Kaitan antara kesemua tema: 

i. Manusia yang nak berubah kepada Allah akan diganggu oleh faktor-faktor dan halangan 
luaran. 

ii. Manusia memerlukan perlindungan Allah untuk mengatasi halangan-halangan tersebut, 
agar segala urusan dipermudahkan. 

iii. Faktor luaran yang menghalang kita untuk berubah: 

  •  Fasiliti: kita memerlukan kelengkapan yang cukup untuk berubah. Kita memerlukan seorang naqib, sebuah buku, kenderaan, internet dan sebagainya dalam jalan tarbiyyah.
  • Suasana (bi’ah): sekiranya kita ingin berubah, kita perlu duduk di dalam memerlukan seorang naqib, sebuah buku, kenderaan, internet dan sebagainya dalam jalan tarbiyyah. 
  • Persekitaran yang membantu kepada perubahan. Bi’ah solehah sangat penting. Kita perlu mendekati orang-orang soleh dan menjauhi mereka yang mengajak kepada kebatilan. Pilihlah rakan yang dapat membantu kita berubah, bukan sebaliknya.
Pesanan^^


Al-Ankabut 2-3

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Dikala kita mahu berubah memang banyak cabaran, luaran dan dalaman, tapi kita mampu. Bukankah kita adalah Jundi Allah? Askar Allah? InsyaAllah.


  • Link tadabbur surah Al-Falaq By Nouman Ali Khan

http://www.youtube.com/watch?v=Rk_SZJuCQEY


Kredit: Daiegrapher Zul Amin^^

Moga Allah Redha atas penulisan yang lemah. 

Mohd Nor Shafiq bin Aziz
Seoul, Korea Selatan
23 Oktober 2014
0255

Tuesday 29 April 2014

Ukhuwah is Foundation of Glory

Ketika di sekolah menengah dahulu, pernah terfikir bahawa persahabatan yang ada dengan rakan-rakan, apakah ertinya? Adakah sekadar bersuka-suka, bermain bersama-sama, hanya berkejar-kejar dalam bilik mandi sambil lempar-lempar air? 

Kemudian saya terdetik untuk terbaca sebuah novel yang tidak diingati tajuknya. Namun apa yang menariknya di dalam novel pertama yang dibaca itu, ada menulis tentang 2 sahabat yang tidak mahu rantaian persahabatan yang mereka bina tersia-sia.

 Oleh itu, mereka telah bersama-sama membawa persahabatan mereka ke arah Allah, iaitu menjadikan persahabatan mereka sebagai ukhuwah fillah. Perasaan ketika baca novel itu, membuatkan saya  terfikir. Betul juga, tak akan tidak seseorang yang menyayangi kawannya akan membirakan rantai persahabatan mereka kosong begitu sahaja. Makanya...

“Setiap persahabatan yang dilandasi cinta karena selain Allah, maka pada hari kiamat nanti akan kembali dalam keadaan saling bermusuhan. Kecuali persahabatannya dilandasi cinta karena Allah ‘Azza wa Jalla, inilah yang kekal selamanya. ” (Tafsir Ibnu Katsir)

Owww..

Alhamdulillah, sejak menerima tarbiyah, saya telah diajar untuk ber'ukhuwah' sesama manusia yang ada di dunia ini. Dimulakan sesama dengan naqib dan rakan satu usrah. Kami berkongsi sesuatu yang kami rasai iaitu perasaan sayang kepada Allah.

 Sebelum menyertai usrah, saya hanya mementingkan perasaan sendiri, hanya berfikir bahawa hanya saya yang susah, bahawa hanya saya yang sedih, bahawa hanya saya yang ada masa tidak elok, sedangkan tanpa saya ketahui, banyak lagi sahabat yang lebih teruk namun gagah menempuhinya. MasyaAllah.

 Selama proses pertarbiyahan membaiki diri, perkataan 'saya' ditukarkan kepada 'kita'. Apabila berfikir pada setiap masa akan keadaan 'kita'. Makanya, akan lahirlah pejuang-pejuang yang 'itsar',( baca: mementingkan sahabat lebih dari siri sendiri). Mereka inilah yang dahagakan kasih sayang manusia namun tidak pernah melebihi kasih sayang kepada Allah yang esa.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (AQ 49:10)

Sesungguhnya kita semua adalah bersaudara. Kita diajar untuk berukhuwah Islamiyah terutamanya sesama muslim. Kita yang menerima tarbiyah sepatutnya menjadi penyatu kepada manusia lain. Menjadi 'Qudwah' (baca: contoh) kepada orang sekeliling kita dimana dengan hubungan baik dengan mereka barulah kita dapat mewujudkan satu persekitaran yang harmoni. Bukan hanya duduk dalam usrah sahaja hinggga mengasingkan diri dari dunia luar. Bukan kah Allah menyuruh kita untuk saling berkenalan?^^ Pergaulan kita disertai dengan tanya khabar, gurau senda tahap 'sweet infiniti, berkongsi masalah, solat jemaah, saling mengingati Allah dan sebagainya. Tidakkah indah sebegitu?



“Serendah-rendah martabat ukhuwah ialah apabila kamu berlapang dada terhadap saudaramu (bersangka baik), dan setinggi-tinggi martabat ukhuwah ialah apabila kamu meletakkan saudaramu lebih utama daripada dirimu sendiri.”-Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna-


Apabila kita memahami konsep ukhuwah dimana saya kira kita meletakkan Allah didalam mana-mana sahaja hubungan kita, maka saya kira kata Imam Hassan Al-Banna sangat lah sesuai. Ya, mungkin rakan kita ada kekurangan malah mungkin perbuatannya tidak disukai kita, namun adakah kita mahu memulaukannya? Sedangkan dia adalah rakan malah saudara kita? Berlapang dadalah jika kita tidak dapat membantu mengubahnya. Dan apabila kita ditimpa masalah, kepada Allah juga kita kembali. Kepada mereka-mereka yang ber'ukhuwah' kepada Allah juga kita cari. Kerana kita yakin mereka juga mencintai kita seperti mana kita mencintai Allah. 


Apabila kita di lempar dengan kata-kata dusta, fitnah ataupun cacian dari mereka-mereka yang masih merasai tarbiyah sebenar, apakah reaksi kita? Malah kadang-kadang kita difitnah oleh mereka yang memahami tarbiyah lebih dari kita. MasyaAllah.



Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".(AQ:59:10)


Berdoalah kepada mereka moga diberi hidayah kerana Allah Maha Mengetahui, Allah maha merancang. Malah, kita tidaklah perlu menanam hasad dengki ke dalam hati kita. Buktikan sahaja dengan amal kita. Kerana apapun terjadi 'ukhuwah adalah teras kegemilangan'


"Manisnya ukhuwah bila di letak Allah sebagai tujuannya"

(Rindu mahu bersama mereka)

Moga Allah Redha atas penulisan yang lemah. 

Mohd Nor Shafiq bin Aziz
Seoul, Korea Selatan
29 April 2014
2138