Tuesday 22 September 2020

Susunan Allah itu ajaib

Alhamdulillah.

Hari ini genap 2 bulan aku berkahwin. Terima kasih pada mak, Maimunah binti Bujang, dan abah Aziz bin Ali kerana melahirkan dan membesarkan aku di dunia. Terima kasih pada puan isteri, Su'aidah binti Khairedin kerana memberi peluang untuk aku hidup berkahwin.  

Alhamdulilah 2 bulan yang baru, orang lain pun dah berpuluh tahun berkahwin. Bukanlah tulisan ini untuk berbangga, namun untuk menzahirkan syukur dan perasaan ajaib pada susunan Allah.


Kita raikan 2 bulan kahwin dengan merempit naik scooter MIL

Bila dilanda gelombang COVID, aku adalah antara mereka yang terkesan. Sebelum ini aku berkerja dalam industri perlancongan. Aku mula tidak bekerja sejak April 2020. Dan ketika PKP bermula, aku menghabiskan masa di rumah Cyberjaya sehingga diberi kebenaran untuk merentas negeri pada 10 Mei 2020. Aku pulang ke Terengganu. 

Berada di Terengganu, memang membuatkan aku lebih bersyukur. Aku mula berjauhan dengan keluarga sejak umur 13 tahun. Keluar sahaja dari rumah untuk menuntut ilmu, aku tak pernah berada di rumah sebegini lama. Sekolah Asrama (2006-2010), PLKN (2011), Persediaan ke Korea (2011-2012), Korea (2012-2017), alam pekerjaan (2017-Mac 2020). 

Kali ini, aku dapat habiskan Ramadan bersama mak abah, adik beradik yang terkandas di Terengganu, yang mana itu lebih dari apa yang aku minta. Teringat pula aku menjadi imam terawih, tapi lepas 4 rakaat, kene berhenti, sebab aku sakit perut. Rasakan makan tak ingat dunia lagi masa berbuka. Syawal pula diraikan penuh sederhana tapi bermakna. 

Ada satu masa, mak gorengkan Jemput Bawang untuk makan waktu sarapan, aku hampir mengalir air mata, kerana itulah kenangan aku waktu kecil, yang mana hampir sekian lama baru aku dapat rasai kembali.Terima kasih Allah atas nikmat PKP. Moga Allah berikan aku rasa bersyukur selalu.

Terima kasih mak. I believed there will be special heaven for you. Gambar masa raya. :)

Alhamdulillah.

Aku bertunang pada 14 Mac, dan aku pun tak dapat hadir majlis kerana self-quarantine. Dan aku berkahwin pada 22 Julai (Rabu). Pada mulanya, majlis akad kami pada 24 Julai (Jumaat), tapi sebab peraturan PKP, akad kami ditukarkan pada saat terakhir ke hari Rabu. Sebabkan ahli keluarga ramai yang bekerja, maka tiada seorang dari keluarga aku yang dapat hadir pada majlis akad nikah aku. 

Aku drive berseorang dari Terengganu ke Perak, settlekan persiapan baju, sampin, songkok, skrip, hati, semuanya sendiri. Keluarga pun tak dapat tengok baju nikah kecuali melalui gambar. 

Gambar masa majlis tunang. Tak dapat hadir, tengok gambar jer, tapi tengok sekejap sebab nak jaga berkat. Tapi, she is always pretty ladyyyyy.

Berdebar sebelum nikah. Terima kasih Khairul ambekkan gambar.

Ironi pula, majlis tunang, aku yang tiada, majlis nikah, family pula tiada. Alhamdulillah buat segalanya.

Tapi,

Aku yakin Allah susun yang terbaik. Allah dah beri banyak peluang aku menyantuni keluarga sejak 10 Mei hingga 21 Julai. Aku gembirakan mak ayah aku. Tak taulah mereka rasa apa. Itu lebih bermakna dibandingkan dengan ketiadaan mereka pada hari bermakna aku. 

Alhamdulillah.

Selepas kahwin, aku terus berbakti sepenuh masa dengan puan isteri, memandangkan aku tak bekerja. Puan isteri pula pada masa tersebut, baru selesai posting O&G, dan start tagging di posting Ortho. Walaupun dah ready dengan bacaan teori hidup bersama doktor, sedikit mencabar, tapi always yakin dengan susunan Allah. 

Oh ya, selepas kahwin, saya direzekikan mendapat kerja baru, seminggu selepas berkahwin. Alhamdulillah.

Kesempatan aku tak bekerja, kami suami isteri memang gunakan sebaik mungkin untuk mengenal hati budi masing-masing. Sebelum kahwin, kami pernah jumpa 3 kali sahaja. Mesej personal pun kami boleh kira dengan jari sahaja berapa kalinya. Aku cuba untuk menjaga keberkatan, moga Allah kira hasil usaha kami. 

Selapas kahwin, kami memang cuba banyakkan komunikasi, dan dapatkan nasihat dari orang sekeliling. Perjalanan aku hantar dan ambil isteri dari Hospital Taiping ke rumah di Kuala Kangsar pun aku nikmati sebaiknya. Aku simpankan perasaan nikmat kebahagiaan perkahwinan dalam diari tulisan aku sendiri.

Seminggu selepas kahwin. Di Taman Tasik Taiping. Masa ini balik dari selesaikan logbook puan isterti di hospital sambil jumpa kawannya, Ona

Sejak 7 September lepas, aku memulakan kerja baru aku di Kepong, Kuala Lumpur. Dengan rasminya, kami suami isteri memulakan fasa hidup berjauhan. Aku akan sibuk dengan kerja aku, dan puan isteri akan lagi sibuk dengan kerjanya. Aku akan pulang ke Perak, setiap hujung minggu, jika jadual puan isteri kosong pada hujung minggu tersebut. Jika puan isteri boleh berkhidmat untuk masyarakat, sekurangnya itu yang aku mampu bantu ya?

Aku dan isteri pernah berbincang, yang sebenarnya kami ini tak lagi diuji dengan ujian yang besar dari Allah. Kami berdua sihat tubuh badan, ahli keluarga mentua masing-masing baik pada kami, masalah kewangan masih lagi tiada, masalah pekerjaan pun belum lagi diuji. Setakat ini, Allah bagi rasa kasihnya pada kami untuk melalui fasa-fasa bermakna dalam alam perkahwinan. Iyalah, baru 2 bulan kan. Jadi kami yakin ujian yang akan mendatang, adalah tanda kasih sayang Allah, untuk hambanya yang beriman (Al-ankabut : 29:2-3). Kami mohon doa semua yang membacanya ya. Moga Allah berikan ujian setimpal yang kami mampu.

Alhamdulillah.

Tahun 2020 ini rasanya sangat bermakna bagi aku. Allah tunjukkan kuasanya pada aku dengan menunaikan doa-doa aku, dan memberi aku rasai fasa-fasa penting dalam hidup aku. 27 tahun sudah dihabiskan di dunia, dengan penuh keampunan pada Allah. Moga Allah tetapkan hati untuk aku sentiasa yakin dengan susunan Allah. 

Sungguh rezeki Allah itu datang dalam bentuk yang kita tak pernah sangka. Susunan Allah itu ajaib.

Pada yang membaca, aku mohon ampun atas salah silap saya sepanjang pertemuan kita, moga doa-doa dari kalian, dapat memberi aku dan puan isteri kemudahan dalam menempuh ujian dari Allah.

Buat puan isteri, terima kasih atas 2 bulan yang bermakna, moga Allah kurniakan mawaddah, kesabaran dalam kehidupan kita. Kita sama-sama jadi muslim terbaik sehingga ke syurga ya?

> Sebenarnya aku langsung tak pandai menulis, mengarut jer, tapi nak tulis jugak. haha

Pertama kali pegang tangan wanita (aka bukan ajnabi) dalam hidup. Nielah akad nikah tanpa family. Terima kasih pada Wan dan Khairul (Kawan puan isteri) datang beri bantuan moral.

Terima kasih keluargaku, sentiasa ada memberi bantuan pada adikmu ini. 
Teruskan berfikir tentang kebesaran Allah, teruskan yakin dengan susunan Allah, teruskan bersabar. :)

> Shafiq Aziz
> 22 September 2020 : 2306
> Kepong, Kuala Lumpur